Sabtu, 6 April 2019

Anopokku Bantu Tingkat Ekonomi Penduduk Setempat




SETIU : Syarikat Anopokku Niaga yang menjual pelbagai hasil laut membantu lebih 60 keluarga nelayan di sekitar pesisir pantai Kampung Mangkok sehingga Kampung Merang dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada kaum wanita untuk menambah pendapatan isi keluarga.


Pendapatan yang diperolehi mereka dari memotong kepala ikan untuk dijadikan isi ikan segar adalah sekitar RM1,500 setiap bulan manakala waktu kerja adalah dari jam 8 pagi hingga 12 tengahari.


Anopokku merupakan perniagaan keluarga yang diasaskan oleh Tuan Kechik Hussain dan perniagaannya semakin berkembang maju dengan dibantu oleh anak-anak sebagai kesinambungan perniagaan berasaskan hasil laut.


Perniagaan ini dijalankan di Kampung Pandan Jaya, Penarik dan ianya merupakan pengeluar isi ikan pertama yang mempunyai sijil halal dari JAKIM.


Perniagaan yang pada mulanya mendapat bantuan dari Jabatan Perikanan Malaysia yang dijadikan anak angkat sebagai langkah permulaan perniagaan dengan bantuan sebanyak RM100,000.00.


Permintaan yang semakin meningkat terhadap isi ikan segar dan produk syarikat ini sudah mula dijual seluruh Malaysia.


Samsuri, 47, bapa kepada tiga orang cahaya mata berkata, kebanyakkan peniaga keropok lekor di Terengganu adalah pelanggan utama beliau.


"Kebiasaan bekalan ikan yang diperolehi dari Terengganu, Kedah, Pahang dan Johor. Antara ikan yang menjadi pilihan utama adalah ikan selayang dan tamban," katanya.


Menurutnya, setiap hari pengeluaran isi ikan segar adalah sekitar tujuh tan setiap hari.


"Dengan modal RM50,000.00, syarikat ini mula membina sebuah bilik sejuk dengan kapasiti 20 tan muatan dalam satu masa.


"Sekarang kami telah mula membina tiga lagi bilik sejuk yang kapasitinya sebanyak 200 tan," katanya yang memulakan perniagaan itu sejak 1997 lagi.


Menurut Tuan Samsuri, Anopokku juga sedang berusaha untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan menambah modal yang diperlukan sebanyak RM600,000.00 untuk lebih berdaya saing.


"Ini secara tidak langsung akan dapat membantu lebih ramai keluarga dari golongan nelayan bagi menambah pendapatan.


"Sasaran kami ialah pada tahun 2020 adalah untuk menambah lagi bilangan pekerja kepada seramai 90 orang," katanya.


Tuan Samsuri berkata, Anopokku bukan sahaja menjual isi ikan segar, malahan turut menjual dan membeli hasil laut.


"Antaranya ialah sotong, undang, pari dan lain-lain dari nelayan tempatan.


"Anopokku juga sedang giat berusaha dalam menambah bilangan bilik sejuk bagi menampung permintaan yang tinggi dari pembekal-pembekal dari sekolah-sekolah terutama pelajar asrama di seluruh Terengganu," katanya.